REUNION 2022
Student Work Y9 Malay Writing Contoh Karangan Zoe Chong Xiao Teng Y9 UDS Aktiviti kokurikulum merupakan satu daripada elemen yang terdapat dalam pendidikan di sekolah. Kegiatan ini memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di bilik darjah. Di Malaysia, kokurikulum merangkumi penyertaan dalam aktiviti sukan dan permainan, persatuan dan kelab serta penyertaan dalam pasukan pakaian seragam. Hakikatnya, aktiviti kokurikulum mampu memberikan manfaat yang banyak kepada murid-murid. Persoalannya, apakah kebaikan-kebaikan yang diperoleh oleh murid daripada penyertaan aktiviti kokurikulum? Salah satu manfaat yang diperoleh para murid sekiranya mereka menyertai aktiviti kokurikulum ialah pengisian masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Hal ini demikian kerana penyertaan dalam kelab sukan memerlukan murid menyertai latihan yang diadakan selepas waktu persekolahan. Misalnya, aktiviti kokurikulum dapat membendung mereka daripada melakukan perkara tidak berfaedah seperti melepak dan gejala sosial yang semakin menjadi polemik dalam kalangan murid sekolah hari ini. Dengan itu, ibu dan bapa hari ini yang sibuk dengan kerjanya masing-masing tidak perlu risau akan keberadaan anak-anak mereka sekiranya mereka terlibat dengan aktiviti kokurikulum di sekolah. Oleh itu, aktiviti kokurikulum memberikan pengisian masa lapang yang sangat bermanfaat kepada murid-murid. Selain itu, penyertaan murid dalam aktiviti kokurikulum dapat menambah ilmu pengetahuan mereka. Hal ini berlaku kerana jika memberi perhatian dan tidak menyertai aktiviti kokurikulum secara sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga, pasti mereka sedar bahawa banyak perkara yang boleh dipelajari. Contohnya, pembelajaran seperti memasang khemah, menghidupkan api menggunakan kayu hutan dan ikatan-ikatan menggunakan tali tidak dipelajari dalam bilik darjah sebaliknya kemahiran ini khusus kepada murid yang menyertai aktiviti-aktiviti pasukan seragam seperti pengakap dan kadet polis. Tegasnya, banyak ilmu boleh ditimba oleh murid jika mereka aktif dalam aktiviti kokurikulum. 232
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NjE5Mjc=